top of page

Kenali Tokoh Ulamak

TUAN GURU IDRIS AL-MARBAWI

 

 

PENGENALAN

Idris al-Marbawi merupakan seorang ilmuan yang mahsyur di Nusantara, Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang bahasa Arab, tafsir, hadith dan fiqh. Ketokohan beliau dalam peradaban dan ketamadunan Islam Nusantara terserlah melalui sumbangan beliau sebagai tokoh penyusun kamus Arab-Melayu diAsia Tenggara. Beliau berperanan penting dalam membentuk pemikiran umat Islamdi Nusantara melalui penghasilan sebuah kamus dwibahasa Arab-Melayu iaitu Kamus al-Marbawi yang menjadi sebuah rujukan penting untuk memahami bahasa Arab yang merupakan bahasa sumber bagi al-Qur’an, al-hadith dan ilmu-ilmu Islam lainnya.

 

Kamus al-Marbawi diperakui mempunyai kesan menyeluruh kepada perkembangan Islam di Nusantara melalui penyediaan kosakata yang berperanan penting dalam perkembangan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. Buktinya, ia telah digunakan secara meluas dipondok-pondok, madrasah, pesantren, sekolah agama malahan sebagai sumber rujukan di perpustakaan-perpustakaan institusi pengajian tinggi dulu sehingga kini. Justeru itu, kajian selanjutnya bertujuan memaparkan biografi Idrisal-Marbawi.

RIWAYAT HIDUP

Nama penuh beliau ialah Muhammad Idris bin Haji Abdul Rauf bin Jaafar bin Idris.Nama al-Marbawi adalah gelaran yang diambil sempena nama kampung beliau iaitu Lubuk Merbau, Kuala Kangsar. Beliau merupakan seorang tokoh ulama terkenal dalam kalangan ulama Melayu-Malaysia. Beliau berperanan penting dalam membentuk minda umat Islam di Nusantara melalui penghasilan karya-karya beliau (Zulkiple Abd.Ghani et.al. 2011: 38). Beliau telah dilahirkan pada 28 Zulkaedah 1313H/1892M di perkampungan al-Masfalah, Makkah al-Mukarramah (Mohd Fauzi& Mohd Nuri al-Amin Endut. 2006 : 459).

 

Pada waktu kelahirannya, kedua-dua ibubapa beliau berada di Makkah untuk mengerjakan ibadah haji serta menuntut ilmu di sana (Zulkiple Abd.Ghani et.al. 2011: 38). Bapa beliau ialah Haji Abdal-Rauf bin Ja’far, berasal dari Minangkabau. Ibu beliau pula ialah Asma’ btHaji Abdul Karim, berasal dari Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak (ZulkipleAbd.Ghani. et.al. 2011: 38). Beliau mempunyai 8 orang adik-beradik dan beliau merupakan anak sulung. Adik-beradik lelaki beliau dari ibu yang sama ialah Haji Abdullah, Haji Tahir, Haji Harun, Haji Abdul Kadir dan Haji Hasan. Manakala dua orang adik beradik perempuan beliau berlainan ibu ialah Hajah Khadijah dan Hajah Hafsah (Zulkiple Abd.Ghani. et.al. 2011 : 38).

 

Pada tahun 1920, beliau telah mendirikan rumah tangga dengan pilihannya iaitu Khadijah Mohd Adham. Pada tahun 1924, beliau telah berangkat ke Mesir untuk menuntut ilmu. Ketika berada di Mesir, beliau berkahwin untuk kali kedua dengan seorang wanita Arab iaitu Munirah bt Abd Wahhab. Beliau mempunyai sepuluh orang anak hasil perkahwinannya dengan isterinya yang pertama. Manakala, beliau tidak dikurniakan zuriat hasil perkahwinan beliau dengan isteri keduanya, Munirah (Zamri Ariffin & Md.NorAbdullah. 2006: 466). Setelah tamat pengajian di Mesir, beliau tidak terus pulang ke tanah air, tetapi terus menetap di Mesir. Suasana keilmuan di Mesir berjaya mencorakkan beliau sebagai seorang ilmuwan. Beliau meneruskan aktiviti penulisan ilmiah di Mesir kira-kira 55 tahun.

 

Ketinggian intelektual beliau mendapat perhatian negara yang mana beliau telah dinobatkan sebagai penerima anugerah. Berikutan itu, beliau pulang ke tanah air pada tahun 1980 bagi menerima anugerah kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau meninggal dunia pada 13 Oktober1989 di Hospital Besar Ipoh, Perak. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar bersebelahan pusara isteri beliau yang pertama iaitu Hajjah Khadijah bt. Mohd Adham yang telah meninggal dunia lima bulan sebelum itu (Mohd. Fauzi Hamat & Mohd Nuri al-Amin Endut. 2006:279-280).

 

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN

Keilmuan beliau banyak dicorakkan oleh suasana kehidupan beliau yang mementingkan ilmu semenjak kecil. Beliau telah memperoleh pendidikan awal di Makkah. Usia muda beliau telah digunakan sepenuhnya dalam suasana keilmuan khususnya bagi mendalami pembelajaran al-Qur’an, mempelajari ilmu berkaitan bahasa Arab yang dikenali sebagai ilmu alat seperti nahw, s arf dan bal a ghah serta ilmu tradisi Islam yang lain seperti usuluddin, fiqh, hadith,tafsir dan tasawuf .Beliau dipercayai memperoleh pendidikan asas dari bapanya sendiri dan berkemungkinan besar menerima pendidikan dari beberapa ulama besar yang menetapdi Makkah seperti Haji Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan (1837- 1912), Syeikh Nik Mat Kecik Fatani (1844- 1915), Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani(1856- 1908) dan Syeikh Wan Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabawi (1860-1916)(Zulkiple Abd. Ghani. et.al. 2011: 38).

 

Ketika berumur 10 tahun, beliau telah mampu menghafaz 10 juzu’ al-Qur’an di samping beberapa buah kitab lain (Jawiah Dakir. et.al. 2006: 204). Kemudiannya, pada tahun 1902, beliau pulang bersama keluarganya ke Lubuk Merbau,Kuala Kangsar. Setelah itu, beliau menyambung pembelajarannya di Sekolah Melayu Lubuk Merbau sehingga tamat darjah lima. Dalam tempoh kira-kira sepuluh tahun selepas kembali dari Makkah, beliau berhijrah dari sebuah pondok ke pondok yang lain. Antaranya ialah Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussin al-Mas’udi di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani(Madrasah al-‘Asriyyah) di Bukit Mertajam serta Pondok Tok Kenali di Kelantan (Zamri Ariffin & Md. Nor Abdullah.2006:466).

 

Setelah belajar di pondok Kenali, Idris al-Marbawi meneruskan pengajiannya ke Kaherah, Mesir untuk mendalami ilmu agama. Beliau berangkat ke Mesir pada Mac 1924. Beliau merupakan anak Melayu pertama kelahiran Perak yang melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar,Mesir (Mohd Fauzi Hamat & Mohd. Nuri al-Amin Endut. 2006 : 279). Semasa di Universiti al-Azhar, beliau memberi penumpuan penuh dalam mendalami ilmu tawhid, hadith dan tafsir (Zamri Ariffin & Md.Nor Abdullah.2006:466). Menurut Muhammad (2003), Idris al-Marbawi telah menuntut ilmu dengan tokoh-tokoh seperti Syeikh Muhammad Mustafa al-Mag ari iaitu Sheikhal-Azhar pada tahun 1928 serta Syeikh Abual-Fadl al-Gizawi (Mohd Fauzi Hamat  & Mohd. Nuri al-Amin Endut. 2006 : 279).

 

Antara guru beliau yang terkenal dalam bidang hadith ialah Syeikh Muhammad Ibrahim yang merupakan seorang sarjana di Universiti al-Azhar serta tenaga pengajar penting di Jami‘al- Husayn, Kaherah (Zamri Arifin & Md.Nor Abdullah. 2006: 467). Setelah beberapa tahun di sana, beliau berjaya mendapatkan ijazah ‘aliyah yang setaraf dengan ijazah sarjana muda sekarang di dalam bidang Syari‘ah Islamiyyah (Zamri Arifin & Md.Nor Abdullah. 2006: 466). Dapatlah disimpulkan bahawa kegigihan dan kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu merupakan elemen penting dalam pembangunan keintelektualan beliau.

 

KEPERIBADIAN

Dari segi perwatakan, beliau merupakan seorang yang pendiam. Ini kerana beliau tidak suka menghabiskan masa dengan bercakap kosong. Justeru itu, beliau merupakan seorang yang sangat menghargai masa. Beliau juga merupakan seorang yang lemah lembut dan suka meraikan tetamu mahupun kawan. Beliau pernah diziarahi oleh Hamka, Pak Sako serta tokoh-tokoh agama lain sewaktu menetap di Mesir (Zulkiple Abd.Ghani. et.al. 2011 : 39).

 

Kajian mendapati Idris al-Marbawi merupakan seorang yang gigih dan mencintai ilmu pengetahuan. Beliau menuntut ilmu semenjak kecil tanpa mengenal erti putus asa. Hasilnya beliau mampu menguasai pelbagai ilmu pengajian Islam terutamanya ilmu tafsir al-Qur’an, hadith, fiqh serta bahasa Arab. Beliau juga merupakan seorang yang berjiwa pendidik. Pengetahuan yang ada pada dirinya disebarkan kepada masyarakat umum dalam bentuk penulisan untuk memberi manfaat kepada ummah. Buktinya, pelbagai kitab beliau masih boleh dipelajari sehingga kini.

 

SUMBANGAN DALAM PENULISAN

Idris al-Marbawi bergiat aktif dalam penulisan dan menghasilkan pelbagai karya dalam bidang pengajian Islam. Hasil penulisan beliau memperkayakan khazanah Islam di Nusantara dan memberi pendedahan intelektual kepada masyarakat Islam. Kitab yang dikarang oleh beliau di dalam bidang hadith ialah kitab Bahr al-Mazi sebanyak 22 jilid yang merupakan terjemahan dan ulasan terhadap Sunan al-Tarmidhi (Zulkiple Abd. Ghani. et.al. 2011 : 38). Kitab ini membicarakan 8200 permasalahan agama dan hal ehwal dunia dan akhirat (Jawiah Dakir et.al. 2006:206).

 

Beliau juga menghasilkan beberapa kitab tafsir al-Qur’an dalam Bahasa Melayu. Antaranya ialah Tafsir Qur’an al-Marbawi, Tafsir Qur’an Nur al-Yakin dan Tafsir Surah Yasin. Di dalam penulisan tafsirnya, beliau hanya menjelaskan huraian dan perbahasan dalam sesuatu ayat secara ringkas dan padat, namun mampu memberi kefahaman kepada pembaca (Jawiah Dakir et.al. 2006: 206). Beliau turut menghasilkan kitab yang seumpama ensiklopedia pertama dalam bahasa Melayu iaitu Kamus Segala Ilmu( Kitab Jami‘ al- ‘Ulum ) dan Kitab Perbendaharaan Ilmu Kurun 14H. KitabPerbendaharaan Ilmu Kurun 14H merupakan majalah bulanan yang mengandungi pelbagai aspek ilmu pengetahuan termasuklah bahasa Melayu, masalah agama, tafsir, hadith dan tawhid, tasawuf ,sejarah tokoh terkenal dunia, geografi, kimia, falsafah serta kedoktoran (Zulkiple Abd. Ghani. et.al. 2011 : 43).

KESIMPULAN

Selain itu, beliau turut memberi sumbangan dalam penghasilan kamus. Antaranya ialah penghasilan kamus kecil seperti Qamoes-el-Djaib Arab-Melajoe Latin (Kamus Poket: Arab Malaya Latin), ringkasan Kamus Melayu-Arab Bergambar dan Teladan Belajar Bahasa Arab yang senang serta Kamus Penuntut (Zulkiple Abd.Ghani. et.al. 2011: 40). Kamus- kamus kecil ini tidak tersebar secara meluas sebagaimana Kamus al-Marbawi yang merupakan karya terbesar beliau dalam perkamusan serta cukup terkenal di sekitar Nusantara (Zulkiple Abd.Ghani. et.al.  2011 : 43). 

 

Idris al-Marbawi merupakan seorang tokoh yang mempunyai keazaman yang tinggi dalam kehidupannya. Berkat kesungguhan dan tekadnya, beliau mampu menguasai ilmu yang dipelajari sekaligus memanfaatkannya untuk kepentingan ummah melalui hasil penulisan dalam pelbagai bidang. Antara sumbangan beliau yang utama ialah dalam bidang perkamusan di Nusantara iaitu Kamus al-Marbawi yang dihasilkan bagi memenuhi keperluan beliau dan para penuntut ilmu di Timur Tengah dalam usaha memahami kuliah dan pengajian, bahan rujukan serta komunikasi yang berasaskan bahasa Arab. Penyusunan kamus ini membuktikan kecekalan dan kegigihan beliau dalam memajukan pendidikan ummah sejagat.  

TUAN GURU MAT SAMAN KATI 

Tokoh Tasawwuf Terkenal Utara Perak

 

Nama sebenar tokoh yang terlalu akrab dengan panggilan Tuan Guru Mat Saman Kati ini ialah Muhammad Yusuf Khan bin Muhammad Abdul Karim Khan bin Muhammad Janu Khan binMuhammad Abdul Wali Khan. Diriwayatkan bahawa Tuan Guru ketika kecil tegar menangis. Setelah mengikut pandangan orang tua-tua, namanya ditukar kepada Muhammad Saman yang mengambil nama sempena nama nenda sebelah bondanya. Berdasarkan kepada namanya, dapatlah ditelusuri keturunannya yang dikatakan berasal dari Afghanistan. Namun setelah moyang sebelah atasnya berkahwin dengan orang tempatan di Batu Kurau, generasi-generasi selepasnya dikatakan banyak bercampur dengan susur galur dari Patani sehingga akhirnya nama Khan tidak lagi digunakan.

Tuan Guru dilahirkan pada 15 September 1922 di Kampung Relau Berdiri, Batu Kurau, Taiping . Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Sungai Akar, Batu Kurau sehingga darjah lima. Kemudian, beliau diterima menjadi guru pelatih di sekolah   berkenaan. Namun, jawatan tersebut sempat disandang selama tiga bulan sahaja setelah beliau beralih arah untuk menimba ilmu agama. Tempat yang ditujunya ialah Madrasah Mariah yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Madrasah Mariah adalah merupakan madrasah terawal yangdibuka di Kuala Kangsar dimana selepasnya Madrasah Idrisiah pula ditubuhkan. Di Madrasah tersebut, Tuan Guru berpeluang menimba ilmu kepada beberapa ulama ternama antaranya seperti Shaykh Abdullah Fahim dan Shaykh Nawawi Janggut Merah. Tuan Guru tidak lama belajar di situ. Setelah setahun berada di Kuala Kangsar, Tuan Guru menyambung pengajian di Madrasah Rushdiah, Kampung Jelai, Batu Kurau. Di madrasah ini, Tuan Guru belajar selama enam tahun (1936-1942) dengan mempelajari ilmu pidato (pengucapan awam), mantik dan mendalami ilmu tasawwuf dan tariqat khususnya tariqat Naqsyabandiyyah.

Setelah tamat pengajian di Madrasah Rushdiah, Tuan Guru mengajar sambilan di kampungnya. Disamping itu, beliau bekerja sebagai petani mengerjakan sawah dan bercucuk tanam. Selama tiga tahun beliau melakukan kegiatan tersebut sebelum berpindah ke Sungai Siput Utara pada tahun 1945. Di Sungai Siput Utara, Tuan Guru ditawarkan mengajar di Sekolah Agama Rakyat, Batu Satu, Jalan Lasah. Apabila sekolah tersebut diambilalih dan dikendalikan oleh kerajaan, Tuan Guru sekaligus diserap menjadi guru kerajaan. Tugas utamanya mengajar membaca Al-Quran,fardhu ain dan lain-lain. Setelah beberapa tahun mengajar di Sungai Siput Utara, keinginan untuk mendalami ilmu agama telah menyebabkan Tuan Guru berangkat ke Makkah dengan menaiki kapal pada tahun 1950.

 

Di Kota SuciMakkah, Tuan Guru melanjutkan pelajaran di Madrasah Darul Ulum. Di situ, beliau mendalami ilmu tafsir Al-Quran , hadith, sejarah Islam, bahasa Arab dan ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan Agama Islam. Setelah beberapa tahun Tuan Guru berada di Makkah, Tuan Guru pulang semula ke Tanah Melayu dengan azam hendak menabur jasa kepada anak bangsa. Pada tahun 1954, Tuan Guru dilantik menjadi mudir Madrasah Nurul Kamaliah, Kati, Kuala Kangsar. Ketika berada di Kati, Tuan Guru menonjolkan bakatnya dengan menyampaikan syarahannya yang bernas. Masyarakat tertarik kerana cara penyampaian syarahannya yang lantang, terus-terang dan diselang-selikan dengan unsur-unsur kelakar. Menurut riwayat beberapa orang muridnya,Tuan Guru seorang yang bijak berkelakar, menyindir dan mengecam secara halus dalam setiap syarahan agama dengan tujuan menyeru ke arah kebaikan. Sikapnya yang lekas mesra, ramah serta mempamerkan kematangan berfikir ketika mengupas persoalan agama yang dikemukakan kepadanya, menyebabkan Allahyarham disanjung oleh masyarakat. Faktor inilah yang melenyapkan nama asal beliau sebaliknya timbul pula gelaran Tuan Guru Mat Saman Kati yang kian hari semakin tersohor. Kegiatan dakwahnya yang sebelum ini hanya tertumpu di Kati kini melebar ke seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan terutama kawasan di sebelah utara Semenanjung. Tambahan pula, tugas suci itu mendapat dorongan dan dukungan Jabatan Agama Islam Perak. Namanya turut menjadi sebutan apabila ia menjadi tenaga pengajar di surau Tuan Guru Haji Ahmad di Sungai Petai, Bukit Gantang. Tenaga pengajar di surau tersebut lazimnya dipilih berdasarkan kewibawaannya memandangkan ramai di antara hadirin yang datang ke surau itu adalah di kalangan alim ulama. Sebab itulah majlis tersebut dikenali sebagai Ijtima'Ulama Wal Muzakarah Bulanan. [1] Almarhum Tuan Guru Haji Ahmad yang pernah menjadi Ahli Majlis Fatwa Perak adalah seorang tokoh yang sangat dihormati kerana keahliannya dalam bidang agama. Beliau adalah ayahanda kepada Dato' Seri Haji Hassan Bin Haji Ahmad, kini memegang jawatan Mufti Pulau Pinang dan Dato’ Haji Saleh Ahmad, salah seorang ahli panel kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

 

Pada tahun1964, Almarhum Sultan Idris Iskandar Shah melantik Tuan Guru menjadi guru agama khas di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Jawatan itu disandangnya sehingga tahun 1970. Dengan perkenan Sultan Perak, Tuan Guru dilantik menjadi Ahli Dewan Negeri Perak (Majlis Penasihat kepada Sultan Perak) mulai tahun 1978 hingga 1980. Pada 1 April 1986, Allahyarham dilantik menjadi Orang Besar 16 bergelar Toh Paduka Indera yang bertanggungjawab menjadi penasihat Sultan Perak mengenai Agama Islam. Kemudian, beliau terpilih pula sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. Jawatan lantikan Sultan Perak ini berkekalan sehingga akhir hayatnya. Salah satu keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri yang melibatkan peranan Tuan Guru ialah tentang fatwa zakat gaji/pendapatan. Fatwa yang dikeluarkan pada 22 Mac 1990 itu menyatakan

 

"Bahawa gaji atau pendapatan termasuk dalam kategori yang wajib zakat apabila cukup nisab dan haul itu adalah merupakan syarat yang diittifaqkan oleh Jumhur Ulama dalam mazhab yang empat. Syarat ini tidak berlaku pada gaji atau pendapatan maka gaji atau pendapatan tidak wajibzakat."   Keterangan dan hujahnya adalah seperti berikut; 

 

KEPUTUSAN JAWATANKUASA SYARIAH NEGERI PERAK TENTANG ZAKAT ATAS PENDAPATAN (GAJI)

 

1. TUJUAN.

 

1.1. Kertas ini dikemukakan untuk menjelaskan keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perak mengenai zakat atas pendapatan (gaji)

 

2. LATAR BELAKANG.

 

2.1. Jawatankuasa Syariah Negeri Perak telah bermesyuaratpada 25 Syaaban 1410 bersamaan 22 Mac 1990 kali ke 113 telah membincang meneliti dan membahas perkara berkenaan .

 

2.2 Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh ahli-ahli mesyuarat seperti berikut:-

 

2.2.1 SS Dato" Seri (Dr ) Hj Harussani bin HajiZakaria - Pengerusi

 

2.2.2 SF Tuan Hj Hasbullah bin Hj Ahmad (Kadi Besar )

 

2.2.3 YDH Toh Paduka Indera Tuan Hj Mohd Saman bin Mohamed

 

2.2.4 AF Dato" Abdul Rahman bin Osman

 

2.2.5 AF Tuan Hj Yahya bin Mohamed

 

2.2.6 AF Prof Madya Hj Mohd Salleh Hj Ahmad

 

2.2.7 Tuan Hj Zulkarnain bin Hj Ahmad

 

3. PERBINCANGAN HUJJAH DAN ALASAN

 

3.1 Ahli Mesyuarat bersetuju sebulat suara bahawa pendapatan dan gaji termasuk dalam kategori المال المستفاد berdasarkan petikan dari kitab الفقه الإسلامى و أدلته juzuk 2 mukasurat864 " المطلب الثانى زكاة كسب العمل والمهن الحرة : العمل : اما حر غير مرتبط بالدولة كعمل الطبيب والمهندس والمحامى والخياط والنجار وغيرهم من أصحاب المهن الحرة . واما مقيد مرتبط بوظيفة تابعة للدولة او نحوها من الموئسسات والشركات العامة او الخاصة , فيعطى الموظف راتبا شهريا كما هو معروف . والدخل الذى يكسبه كل من صاحب العمل الحر والموظف ينطبق عليه فقها وصف " المال المستفاد " Zakat gaji dan pekerjaan bebas Pekerjaan terbahagi kepada dua kumpulan, sekumpulan yang tidak berkaitan dengan kerajaan (bekerja sendiri) seperti profesion doktor, jurutera, peguam, tukangjahit, tukang kayu dan lain-lain pekerjaan swasta. Sekumpulan lagi ialah pekerjaan yang berkaitan dengan kerajaan seperti institusi -institusi dan syarikat-syarikat samada yang umum atau yang khas di mana pegawainya diberi gaji bulanan. Gaji yang diperolehi oleh orang yang makan gaji dengan kerajaan atau swasta adalah disebut oleh ahli feqh sebagai "al-mal almustafad" (harta perolehan)

 

3.2 Ahli Mesyuarat juga bersepakat bahawa salah satu syarat yang perlu untuk dipenuhi dalam pembayaran zakat adalah haul berdasar kepada dalil - dalil di bawah :- لا زكاة فى مال حتى يحول عليه الحول رواه الدار قطنى والبيهقى من حديث ابن عمر . Tidak dikenakan zakat bagi harta yang tidak sempurma haulnya

 

3.3 Ahli mesyuarat bersependapat bahawa syarat zakat bagi المال المستفاد memerlukan haul berdasarkan hadith :- من استفاد مالا فلا زكاة عليه حتى يحول عليه الحول عند ربه رواه الترمذى Sesiapa yang mendapat perolehan harta , tidak dikenakan zakat atas harta perolehannya sehinggan sempurna haulnya di sisi Tuhannya. Juga berdasarkan petikan dari kitab الفقه الإسلامى و أدلته للدكتور وهبه الزحيلى الجزء الثانى :- والمقرر فى المذاهب الاربعة انه لا زكاة فى المال المستفاد حتى يبلغ نصابا ويتم حولا ويزكى فى رأى غير الشافعية المال المدخر كله ولو من آخر لحظة قبل انتهاء الحول بعد توفر اصل النصاب Ditetapkan dalam mazhab yang empat bahawa "al mal al mustafad " tidak dikenakan zakat sehinggalah ia mencukupi nisab dan genap haul . Ulama’ selain mazhab Syafi’i mengatakan seluruh harta yang disimpan hendaklah dikeluarkan zakat jika cukup nisab walaupun di saat akhir sebelum habis haul

 

3.4 Ahli mesyuarat berpendapat menqiaskan haul zakat pendapatan dengan zakat tanaman berdasarkan ayat وآتوا حقه يوم حصاده serta pada masa yang sama meletakkan kadar zakat 2.5% berdasarkan zakat emas perak adalah قياس مع الفارق . Penentuan zakat memerlukan kepada nas berdasarkan kepada keterangan di bawah :- المدار فى الزكاة على ورود النص و لامدخل للقياس فى ذلك الحاوى للفتاوى جز 1 ص 136 Perbincangan dalam penetapan zakat adalah didasari dengan datangnya nas dan tiada ruang untuk menggunakan qias. مسئلة لا زكاة فى التين . قال فى الروضة : بلا خلاف وهو مشكل لانه فى معنى العنب بل اولى الجواب : المدار فى الزكاة على ورود النص , لا مدخل للقياس فى ذلك ولم يثبت ايجابها فى التين . الفتاوى للسيوطي جزء 1 ص 132 Masalah pada menyatakan tiada dikenakan zakat pada buah tin. Berkata Imam Nawawi dalam kitab Raudhah : Tanpa khilaf dan ia termasuk dalam persoalan yang masih samar kerana ia diertikan seperti buah anggur bahkan lebih dari buah anggur. Jawapan :Perbahasan dalam zakat tertakluk kepada datangnya nas. Tiada peranan qias disitu dan tidak sabit wajib mengeluarkan zakat pada buah tin

 

3.5 Ahli mesyuarat berpendapat zakat الأثمان ( الذهب والفضة ) memerlukan syarat haul berdasar hujjah berikut :- واما الاثمان فشيئان الذهب والفضة )) وشرائط وجوب الزكاة فيها خمسة اشياء الاسلام والحرية والملك التام والنصاب والحول وهو كما فى المحكم سنة كاملة وانما اشترط لخبر لا زكاة فى مال حتى يحول عليه الحول ) وهو وان كان ضعيفا مجبور بآثار صحيحة عن الخلفاء الاربعة وغيرهم . اه . الباجورى : جزء 1 ص 262 263 Adapun ( الأثمان ) ia merupakan emas dan perak. Syarat wajib zakat padanya ada lima iaitu Islam, Merdeka, Milik sempurna, cukup nisab dan cukup haul iaitu cukup setahun berdasarkan hadith " tidak perlu zakat pada harta kecuali sempurna haul " walaupun hadith ini dhaif tetapi telah ditampung oleh athar sahabi yang sahih dari sahabat yang empat serta yang lain-lain. الحديث : عن على رضى الله عنه وساق حديثا الى ان قال : فإذا كانت لك مائتا درهم و حال عليها الحول ففيها خمسة دراهم . وليس عليك شيئ حتى تكون لك عشرون دينارا , فإذا كانت لك عشرون دينارا وحال عليها الحول ففيها نصف دينار فما زاد فبحساب ذلك . رواه ابو داود وصححه البخارى Al hadith : Daripada Ali RA dalam hadith yang panjang sehingga kata-katanya : Apabila kamu ada 200 dirham dan cukup haul maka zakatnya 5 dirham dan tidak dikenakan zakat ke atas kamu sehingga kamu memiliki 20 dinar dan cukup satu haul maka zakatnya adalah separuh dinar , begitulah kiraan zakat seterusnya

 

3.6 Ahli mesyuarat bersetuju bahawa seluruh kitab-kitab ulama" As Syafiiyyah, Hanabilah, Malik, Hanafiah dan jumhur Sahabat dan Tabiin mewajibkan zakat emas, perak, binatang ternakan kerbau, lembu, kambing dan unta dengan cukup nisab dan haul cuma sebahagian kecil daripada sahabat yang kecil dan tabiin yang berpendapat harta-harta seperti wang ringgit, emas, perak, dan binatang ternakan wajib dikeluarkan zakatnya apabila sempurna nisab tanpa mengira haul. Ini adalah pendapat Daud Az Zohiri. Kita diminta oleh Rasulullah SAW untuk berpegang kepada pesanan beginda SAW : عليكم بسنتى وسنة الخلفاء الراشدين المهديين تمسكوا بها وعضوا عليها بالنواجذ . رواية ابو داود جزء 17 "wajiblah ke atas kamu untuk berpegang dengan sunnahku dan sunnah khulafa' ArRasyidin Al Mahdiyyin dan berpegang teguhlah dengannya seperti kamu menggigitnya dengan geraham kamu" Ada beberapa kategori harta yang diwajibkan zakat tanpa haul seperti terkandung dalam keterangan di bawah :- ضابط : لا يعتبر الحول فى الزكاة فى سبعة أشياء : زكاة الزروع والثمار والمعدن والركاز والفطر وزيادة الربح في التجارة والسخال اذا ماتت امهاتها او كملت النصاب Tidak diambilkira haul itu pada zakat tujuh perkara : tanam-tanaman, buah-buahan, galian, rikaz, fitrah, lebihan untung perniagaan, anak kambing apabila kematian emaknya atau sempurna nisabnya

 

3.7 Ahli mesyuarat berpendapat tidak berlaku zakat atas pendapatan atau gaji di zaman Khulafa' Arrasyidin

 

4. KEPUTUSAN JAWATANKUASA SYARIAH

 

4.1. Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perak kali ke 113 pada hari Khamis 22hb Mac 1990 bersamaan 25hb Syaaban 1410 bersetuju sebulat pendapat iaitu المال المستفاد itu wajib zakat apabila cukup nisab dan haul kerana haul itu adalah merupakan syarat yang diittifaqkan( دإتفاقكن ) oleh Jumhurul Ulama" ) جمهور العلماء (dalam mazhab yang empat).  

 

Tuan Guru kemudiannya mendirikan sebuah madrasah yang dikenali dengan nama Madrasah Islahiahas-Sammaniyah ( اﻟﻤﺪرﺳﻪ إﺻﻟﺎﺣﻴﻪ اﻟﺴﻤﺎﻧﻴﻪ ) di Batu 4½Kampong Pasir, Taiping pada tahun 1975 dan mengambil keputusan untuk terus menetap di situ.

 

Di samping berdakwah, Tuan Guru aktif mengarang kitab dan buku. Antara kitab yang dihasilkannya ialah Masailatul Tauhid (selok-belok ilmu tauhid), Utusan Ibadat (ilmu amal ibadat mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah), Ajaran Tasawuf dan Tarekat (ilmu sufi), Al-Ruddun Ala Ahlil Bidaah, Masalah Agama Dari Segi Ibadah, Attariq Ilahi, Addulai-Lu Maarifah, Panduan Individu dan Ghayatul Maksud dan Ilmu Tasawuf serta sebuah buku bercorak memoir; Lawatan Ke Mesir.

 

Tuan Guru dikenali masyarakat sebagai ahli dalam bidang tasawwuf dan tariqat. Bahkan beliau banyak menulis dalam bidang tersebut berbanding bidang-bidang lain. Tuan Guru merupakan mursyid tariqat Sammaniah. Beliau juga diriwayatkan mempunyai ijazah tariqat Syatariyyah dan Khalwatiyyah. Sanad tariqatnya dikatakan sampai kepada Tuan Guru Che Doi [2] mengikut jalur Shaykh Daud Abdullah al-Fathani.

 

Tuan Guru mempunyai ramai sahabat dari kalangan para alim ulama yang sezaman dengannya. Antaranya ialah seperti almarhum Tuan Shaykh Daud Malau rakan seperguruannya di Makkah, almarhum Tuan Guru Haji Ja'afar Al-Hafiz dan almarhum Tuan Guru Haji Abdul Hamid dari Pondok Padang Lalang Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan ramai lagi. Anak-anak muridnya ramai yang menjadi tokoh terkenal di kawasan masing-masing. Antara yang menabur jasa di bumi Perak ialah seperti almarhum Dato   Tuan Guru Haji Abdul Latif Abdul Rahman yang sinonimnya dengan panggilan Pak Teh Keroh [3] .Ketika hayatnya, beliau mentadbir madrasah yang diasaskannya sendiri di kampung halamannya iaitu Madrasah Ad Diniah Al Latiffiah. Beliau juga   adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa Syariah di Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perak . Seorang lagi tokoh yang tidak kurang terkenalnya yang merupakan anak murid Tuan Guru ialah almarhum Tuan Guru Haji Sabran bin Haji Asmawi . Beliau pernah menjadi mudir Ma’ahad ar-Ridhwaniah, sekolah agama yangterletak di Telok Medan, Bagan Serai. Namun namanya lebih dikenali dalam arena politik setelah menjawat pelbagai jawatan penting dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) peringkat negeri. Jawatan tertinggi yang disandangnya ialah sebagai Pesuruhjaya PAS peringkat negeri Perak. Beliau pernah menjadi wakil rakyat Gunung Semanggol setelah menang kerusi DUN pada tahun 1999.

 

Tuan Guru dianugerahkan darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato’ dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) serta dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun 1409H/1988M oleh Kerajaan Perak atas jasanya yang sangat besar kepada pembangunan agama di negeri Perak. Tuan Guru akhirnya berpulang ke Rahmatullah padahari Selasa, 2 Mei 1995 bersamaan 2 Zulhijjah 1415H di Kamunting, Taiping.

TUAN GURU MOHD. YUSOF BIN AHMAD 

(Tok Kenali)
(1868-1933)

 

Haji Awang Muhammad Yusof Kenali atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali merupakan seorang ulamak yang amat masyhur bukan sahaja bagi negeri Kelantan bahkan seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan wilayah-wilayah selatan Thailand.  Sehingga hari ini, setelah 80 tahun almarhum meningglkan dunia ini, sebut sahaja nama Tok Kenali, ramai yang masih mendengar nama ini.

Walaupun beliau bukanlah seorang penulis yang konsisten seperti Syed Syeikh al-Hady, namun beliau merupakan seorang penulis yang gagah lagi jelas pemikirannya. Tok Kenali sejak dari usia yang muda lagi meminati pembacaan dan menaruh pandangan yang begitu tinggi terhadap tugas-tugas penulisan serta peranan majalah-majalah dan akhbar-akhbar sebagai mass media yang berpengaruh untuk menyatupadukan umat Melayu Islam . Atas kesedaran itulah beliau tampil mempelopori usaha memimpin majalah ‘Pengasuh’ yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan walaupun beliau terbeban dengan tugas-tugas besar yang lain. Ini dapat diperhatikan dalam tulisannya dalam keluaran pertama majalah ‘Pengasoh’ :

Zoho Creator Database Tasmik: Sign In

Donate with PayPal

Zoho Creator Database Pelajar: Sign In

Zoho Docs Database Pelajar: Sign In

@ Sign In : Wix.com

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Google+ Social Icon
  • YouTube Social  Icon

@2016.maahadtahfizwattalqqi.al-marbawi, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar.perak

bottom of page