
Apakah erti Talaqqi dan Musyafahah

Talaqqi dari segi bahasa diambil daripada perkataan iaitu pelajar bersemuka atau berhadapan dengan guru. Musyafahah pula bermakna dari mulut ke mulut (pelajar belajar al-quran dengan memerhati gerak bibir guru untuk mendapatkan sebutan makhraj yang betul)
Pendekatan pengajaran al-Quran secara talaqqi dan musyafahah telah diamalkan sejak zaman Rasulullah saw lagi. Sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi, pembacaan al-Quran telah diwarisi secara penyampaian berhadapan guru dan murid dari mulut ke mulut bagi menepati bacaan yang telah diturunkan kepada Baginda s.a.w. secara Tartil (bertajwid) menepati firman Allah s.w.t.:
"Dan sesungguhnya Kamu (Muhammad) telah membaca Al-Quran itu daripada (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui"(Surah An-Naml, ayat: 6)
FirmanNya lagi:
"Dan Kami (Allah) telah bacakan (Al-Quran itu) kepada (Muhammad s.a.w.) secara Tartil (bertajwid)" (Surah Al-Furqan, ayat: 32)
Rasulullah s.a.w. pernah berpesan supaya pembacaan al-Quran itu diambil dan dipelajari dari 4 orang sahabat terkemuka dengan sabdanya:
"Ambillah bacaan al-Quran itu dari empat orang iaitu; Abdullah Ibnu Mas`ud, Salim, Mu`az bin Jabal dan Ubai bin Ka`ad" (Sahih Bukhari, Kitab fadhail amal, Bab al-Qurra min ashab al-nabiy)
Fatimah r.a. meriwayatkan sebuah hadith bahawa Rasulullah s.a.w. menceritakan kepadanya suatu rahsia yang maksudnya:
"Jibril membaca dan memperdengarkan al-Quran bersama Ku setiap setahun sekali, kemudian dua kali setahun, maka aku dapat merasakan kehadiran ajalKu"(Sahih Bukhari))
Al-quran juga yang merupakan kalamullah, sebaik-baiknya perlu dibaca dengan baik agar dapat memelihara keaslian bacaan tersebut sesuai dengan hadis yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyukai Al-Quran itu dibaca menepati sebagaimana ia diturunkan". (Hadis riwayat sahih Ibnu Khuzaimah).
Berdasarkan sumber-sumber dari al-Quran dan al-Sunnah di atas jelaslah menunjukkan kaedah talaqqi dan musyafahah telah diamalkan dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran sejak dari awal penurunan wahyu kepada Rasulullah s.a.w. lagi.